Pembayaran 2.0, Bual Suara Berjadual, Versi Web Baru

Baca pengumuman rasmi dalam Bahasa Inggeris
Pembayaran 2.0, Bual Suara Berjadual, Versi Web baru dan Lagi

Kemaskini ini membawa Pembayaran 2.0 untuk semua bual Telegram, Penjadualan dan Profil Kecil untuk Bual Suara, Telegram Web versi baru untuk browser anda, dan banyak lagi.

Pembayaran 2.0

Kami mula tambah sokongan untuk pembayaran pada 2017. Bot pembayaran membenarkan pengguna membayar dengan selamat barangan atau perkhidmatan tanpa meninggal aplikasi - apa jua dari memesan piza hingga ke memanggil teksi, ke mengganti tayar musim sejuk bila anda bosan dengan musim sejuk.

Mulai hari ini, peniaga boleh terima secara natif pembayaran kad kredit dalam mana-mana bual, menggunakan 8 pembekal pembayar ketiga bersepadu seperti Stripe.

Pembeli boleh bagi tip bila membuat pembelian untuk memberi penghargaan kepada artis, kedai, atau pemandu penghantar mereka. Pembayaran boleh dibuat dari mana-mana aplikasi - termasuk aplikasi desktop.

Ini adalah platform percuma dan pentingkan privasi - Telegram tidak mengambil apa-apa komisen, dan tidak menyimpan informasi pembayaran. Informasi kad kredit dikirim secara terus kepada pembekal pembayaran dan informasi penghantaran dikongsi dengan penjual agar mereka boleh menghantar belian anda.

Kami telah mencipta saluran demo dengan barang khayalan yang paling eksotik dan tidak ada wang yang dapat membelinya, jadi anda dapat menguji cara kerjanya tanpa mengeluarkan satu sen.

Mana-mana penjual boleh mula menggunakan API Pembayaran tanpa memerlukan kelulusan dari Telegram. Juruprogram yang berminat dalam menyatukan pembayaran boleh mendapat perincian di Manual Pembayaran.

Bual Suara Berjadual

Bual Suara memberi pengguna opsyen untuk berbual dengan beberapa rakan atau terus mendengar ke siaran gergasi dengan jutaan pendengar.

Pentadbir grup dan saluran kini boleh jadualkan Bual Suara untuk tarikh dan masa tertentu tanpa terus menciptanya. Ini membolehkan komuniti mempunyai masa untuk memberitahu rakan mereka dan menyediakan kerpuk goreng.

Pengguna akan dapat lihat pembilang turun yang berwarna-warni pada bahagian atas bual. Bagi mereka yang terlalu sibuk untuk melihat pembilang turun boleh mengambil opsyen untuk menerima notifikasi bila bual suara dimulakan.

Pentadbir boleh menjadualkan Bual Suara dari laman profil Grup atau Saluran mereka. Di Android, tekan ⋮ > Mula Bual Suara > Jadualkan Bual Suara. Di iOS, tekan butang Bual Suara dan pilih Jadualkan Bual Suara.

Jangan bimbang, bual tidak akan bermula secara automatik apabila pembilang turun hampir ke sifar - hanya bila pentadbir menekan butang Mula Sekarang.

Profil Kecil untuk Bual Suara

Anda kini boleh kembangkan gambar profil dan bio untuk mendapat idea dengan siapa anda berbual - tanpa meninggal jendela bual suara.

Anda juga boleh tukar gambar profil anda dan sunting bio anda tanpa meninggal bual - seperti menukar dari Sarimah ke si manja Maimunah ketika anda temui Tuah dan Jebat.

Versi Web Baru

Versi Telegram Web yang pertama dilancarkan pada tahun 2014. Semenjak itu, kucing belaan kami yang mengambil bahagian dalam pertandingan sentiasa berbisik: 'Kenapa adakan satu versi web bila kita boleh adakan dua?'

Hari ini kami menambah dua versi aplikasi Telegram Web baru - keduanya menyokong stiker beranimasi, mod gelap, folder bual dan banyak lagi.

Dengan versi web baru, anda boleh mendapatkan akses segera ke bual anda di mana-mana peranti - desktop atau mudah alih. Aplikasi ini sangat efisien, hanya memerlukan muat turun bersaiz 400 KB (seperti dua gambar kucing bersaiz sederhana) dan tanpa pemasangan.

Pandu uji mereka, dan lihat yang mana satu anda lebih gemar.

Seperti Aplikasi Telegram lain, semua versi web kami adalah mandiri: apabila anda sudah log masuk, anda tidak perlu simpan telefon anda berhampiran atau dihubungi ke internet.

Jika anda menjumpai sebarang isu dengan mana-mana aplikasi baru, sila beritahu kami dengan menggunakan Platform Cadangan.

Muat turun Terus untuk Android

Sekiranya anda adalah orang yang berminat dalam aplikasi, anda juga boleh muat turun aplikasi Android kami secara terus dari telegram.org. Aplikasi yang dipasang dari laman web akan mengemaskini secara automatik ke versi yang terkini. Anda akan mendapat versi baru beberap hari atau minggu lebih cepat kerana anda tidak payah menunggu kemaskini diluluskan oleh Play Store.

Telegram menyokong rekaan boleh dihasilkan semula, agar anda boleh sentiasa yakin aplikasi yang anda guna pada peranti anda adalah dibangun dari kod asal terbuka yang sama iaitu diterbit di GitHub.

Picit untuk Zum

Foto dan video kini boleh dikembangkan secara terus dari bual - hanya picit untuk zum ke dalam, tanpa menekan untuk buka kaca media.

Pemain Video yang Lebih Baik

Bila menonton video dari pemain media di iOS, tekan lama butang +/- 15s untuk ke depan pantas dan pusing balik. Di Android tekan lama pada kanan atau kiri tepi skrin untuk buat yang sama, dan tekan dua kali untuk lompat 10 saat bagi kedua-dua arah.

Panduan dan Animasi Baru Android

Aplikasi Android menjadi lebih dinamik dan lebih licin pada setiap kemaskini - semak animasi baru bila membuka menu tepi atau meleret kembali ke senarai bual dari mana-mana bual.

Untuk mempelajari lebih lanjut apa Telegram boleh lakukan, tekan Ciri Telegram dari menu tepi (di Aturan pada iOS) atau lihat di saluran @TelegramTipsMS.

Peluang Pekerjaan di Telegram

Itu sahaja untuk hari ini. Kami juga sedang melakukan kemaskini yang seterusnya - dan kalau anda fikir 'Wah, itulah caranya' dan bukan 'Kesiannya, sila berehat', sila lihat senarai jawatan kosong kami.


26 April, 2021
Pasukan Telegram